Search

305 kes kebakaran hutan di Sabah setakat ini

February 23, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mencatat sehingga 305 kes kebakaran kebun, ladang, hutan, belukar, dan lalang tahun ini.

Pengarah JBPM Sabah Abdul Razak Muda berkata, semua kes kebakaran direkodkan bermula 1 Januari sehingga semalam.

“Untuk semua kes ini, kebakaran belukar dan lalang mencatat jumlah paling tinggi iaitu 229 kes yang mana bulan ini merekodkan 189 kes dan hanya 40 kes bulan lalu.

“Kebakaran hutan mencatat keseluruhan 102 kes masing-masing 27 kes bagi Januari dan 75 kes untuk bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hanya sembilan kes bagi jumlah kebakaran belukar dan ladang bulan lalu diikuti 13 kes dicatat sehingga Khamis bulan ini.

Beliau juga meminta orang awam agar tidak memulakan aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi penyebab kepada kebakaran seumpama ini.

“Hubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) berhampiran sekiranya mengesan kebakaran di kawasan terbuka untuk tindakan kawalan segera,” katanya. – Info X