KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lagi ahli kumpulan Geng Raqib selepas beberapa hari memecah masuk sebuah rumah di taman perumahan Greenfield, Menggatal, di sini.
Suspek warga asing berusia 34 tahun ditahan sepasukan pegawai serta anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) JSJ Kontinjen Sabah, pada jam 10 pagi hari ini.
Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, siasatan serta operasi risikan dijalankan selepas seorang pemilik rumah mendakwa rumahnya dipecah masuk pada jam 9 malam 17 Februari lalu.
Katanya, mangsa yang bekerja sebagai mekanik dan berusia 39 tahun itu mengalami kerugian sebanyak RM96,000 selepas barangan berharga di dalam rumah terbabit dilarikan suspek.

“Hasil siasatan terperinci, suspek akhirnya berjaya ditahan di sebuah bilik sewa di rumah penginapan Kampung Laya Laya, Tuaran.
“Turut dirampas ialah satu unit telefon bimbit, dua beg dompet mengandungi kad bank dan lesen memandu, duit syiling 33 keping pelbagai matawang dan beg sandang jenama antarabangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk disiasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, polis berjaya menahan lima individu termasuk ketua kumpulan Geng Raqib selepas aktif menjalankan jenayah pecah rumah sejak pertengahan tahun lalu dalam dua serbuan berasingan di Beaufort dan Kota Kinabalu.
Semua suspek turut dikehendaki selepas melakukan sekurang-kurangnya 17 kes pecah rumah di beberapa daerah di negeri ini. – Info X