LAHAD DATU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku adalah antara kerusi yang ‘diintai’ oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presidennya Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, sokongan kepada parti STAR dilihat semakin meningkat dan beliau menzahirkan rasa bangga atas sokongan ini.
Katanya, sejak dulu parti STAR memang mendapat sokongan tetapi STAR memberi penghormatan kepada parti-parti lain.
“Kali ini mereka betul-betul minta dan saya datang. Saya melihat peningkatan dan sokongan ini sangat menggalakkan.
“Saya harap ini akan berterusan kerana kita bukan main politik semata-mata tetapi berjuang untuk hak kita, untuk membela rakyat dan membawa pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada ‘Siri Jelajah Presiden STAR Sabah bagi Zon Lahad Datu/Tawau di Tungku.
Terdahulu dalam ucapannya, Jeffrey mengucapkan tahniah kepada Ketua Bahagian STAR Tungku, Suling Isib atas kejayaan penganjuran siri jelajah ini.
Beliau berkata, jelajah yang bertujuan untuk memberi pencerahan mengenai perjuangan untuk negeri Sabah ini akan diteruskan ke kawasan-kawasan lain.
Sementara itu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah melihat kawasan Tungku yang mempunyai tanah yang luas dan subur boleh dijadikan kawasan untuk menyumbang kepada peningkatan pengeluaran makanan Sabah.
“Tanah di kawasan ini boleh dibuka untuk pertanian dan penternakan kerana kita masih kekurangan makanan makanan. Kita masih mengimport beras dan daging.
“Maka itu, kita perlu mengeluarkan lebih banyak makanan bukan sahaja padi tetapi buah-buahan dan makanan lain seperti daging ternakan, ayam dan sebagainya,” tambahnya. – Info X