Search

Gambar pegang senjata api tular, remaja ditahan

March 4, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang remaja lelaki selepas tular gambar menunjukkan dia sedang menggunakan alat menyerupai senjata api di tingkap blok sebuah kondominium di Jalan Kayu Madang, di sini, kelmarin.

Suspek berusia 15 tahun itu ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di rumahnya di kondominium berkenaan, jam 5.36 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai gambar tular di kumpulan WhatsApp seorang penghuni remaja sedang menggunakan alat menyerupai senjata api di tingkap kondominium di Jalan Kayu Madang.

Katanya, susulan itu sepasukan polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah rumah dan menemui satu laras senjata tiruan menyerupai AK47 iaitu senjata blester dan sepucuk pistol tiruan.

Remaja ditahan bersama senjata tiruan di rumahnya di kondominium di Jalan Kayu Madang, Telipok. – Foto/PDRM

“Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatannya jam 9 pagi pada 2 Mac lalu bertempat di tangga dengan menggunakan senjata blester terbabit untuk menembak ke arah beberapa objek yang dijadikan sasaran.

“Suspek juga mengaku membeli dua senjata tiruan di sebuah kedai di bandar raya ini dengan harga RM158 dan RM54,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, bertindak atas maklumat itu, pasukan polis membuat serbuan di kedai menjual senjata tiruan di sebuah kompleks beli belah, di sini.

“Sejumlah sanjata tiruan dirampas dan menahan seorang lelaki dan wanita berusia 15 dan 19 tahun yang bekerja di premis berkenaan.

Senjata api tiruan yang dirampas di sebuah kedai di kompleks beli belah di Kota Kinabalu. – Foto/PDRM

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960. – Info X