Search

Maximus dijangka beri penjelasan peranan penting PBS dalam GRS esok

March 4, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dijangka akan menjelaskan peranan penting parti itu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada sambutan ulang tahun ke-39 PBS, esok.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki, berkata perkara itu sejajar dengan kedudukan PBS sebagai parti komponen kedua terbesar dalam gabungan politik tempatan berkenaan.

“Presiden juga dijangka menekankan semula peranan penting PBS dalam GRS sebagai parti komponen kedua terbesar dalam gabungan itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Julita

Sambutan ulang tahun PBS Ke-39 akan diadakan di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, di sini yang bakal dihadiri lebih 500 pemimpin bahagian, termasuk sayap wanita dan pemuda.

Julita yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, berkata Maximus juga akan menjelaskan hala tuju masa depan parti itu, selain mengingatkan peranan ahli untuk mengekalkan PBS sebagai parti yang disegani.

Sementara itu, Julita yang juga pengerusi penganjur sambutan berkenaan berkata, satu seminar mengenai usaha memperkasa ekonomi ahli PBS turut diadakan pada awal hari esok.

Selain presiden dan semua pemimpin PBS, turut dijangka hadir ialah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku pengasas PBS. – Info X