Search

Sembilan rumah musnah terbakar di Bongawan

March 4, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Tatkala Ramadan menjelang tiba, lebih sembilan keluarga diuji apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Laut, Bongawan, di sini, tengah hari tadi.

Malah menyedihkan apabila semua harta benda gagal diselamatkan termasuk barang berharga, pakaian dan barangan elektrik.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas penghuni rumah sempat keluar menyelamatkan diri.

Rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Laut, Bongawan, Papar.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.02 tengah hari.

Katanya, tiga jentera dan tiga Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 26 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Papar dan Beaufort dihantar ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan 11 rumah jenis tidak kekal iaitu sembilan rumah musnah sepenuhnya manakala dua lagi mengalami kerosakan.

“Operasi pemadaman segera dilakukan bagi mengelak api merebak ke rumah bersebelahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Laut, Bongawan, Papar.

Menurutnya, operasi berjaya dikawal jam 12.56 tengah hari.

“Pasukan bomba berjaya menyelamatkan lebih 20 rumah berhampiran dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.

“Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X