Search

Selesai isu keperluan asas rakyat Sabah – Hajiji

March 4, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri pimpinannya akan terus memastikan kehidupan rakyat Sabah terbela menerusi usaha berterusan menyelesaikan isu berkaitan keperluan asas rakyat.

Beliau berkata, tumpuan kerajaan ketika ini ialah untuk menyelesaikan isu bekalan elektrik dan air, selain berkaitan perumahan dan perkara lain berkaitan keperluan rakyat yang menghantui rakyat Sabah sejak sekian lama.

Katanya, kerajaan pimpinannya melaksanakan pelbagai ikhtiar bagi menjamin kehidupan rakyat yang lebih selesa sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada September 2020.

“Kita telah melancarkan Pelan Induk Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SERAMP) pada September tahun lalu sebagai usaha untuk beralih daripada sumber tenaga tidak boleh diperbaharui seperti gas asli dan bergantung kepada rangkaian sungai di Sabah.

“Permintaan bekalan tenaga elektrik yang semakin meningkat pada masa ini boleh diatasi dengan mempercepatkan projek hidroelektrik bagi memenuhi keperluan industri yang semakin pesat di negeri ini.

“Tenaga boleh diperbaharui seperti solar, biomas dan biogas akan melengkapkan lagi kapasiti penghasilan tenaga elektrik di Sabah,” katanya pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hajiji berkata, Projek Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom yang dijangka siap pada 2029 bakal menjana bekalan elektrik yang akan diperluaskan dengan menghubungkan kawasan selatan dan tenggara Sabah bagi mencipta rangkaian tenaga yang lebih stabil.

Jelasnya, projek itu turut membantu menyelesaikan kekurangan bekalan air dalam tempoh masa panjang dengan penghasilan 6,000 juta liter air sehari (JLS) selain menjadi pemangkin perubahan kepada Sabah yang dapat menjamin kehidupan lebih baik pada masa akan datang.

Katanya, bagi memastikan bekalan air menjadi lebih stabil, kerajaan juga meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 1 dan 2, sebanyak 130 JLS hingga 160 JLS yang mampu membekalkan air di utara Kota Kinabalu termasuk Tuaran, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Kerajaan turut meningkatkan kapasiti bekalan air di LRA Kogopon di Papar kepada 80 JLS meliputi kawasan Papar, Kimanis hingga ke selatan Kota Kinabalu yang bermula lima bulan lalu dengan kos RM385 juta dan dijangka siap pada 2026,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri juga menubuhkan syarikat minyak dan gas sendiri pada 7 Disember 2021, SMJ Petroleum Sdn Bhd (kini SMJ Energy Sdn Bhd) dengan jumlah aset bernilai lebih RM5 bilion setakat Disember lalu.

SMJ Energy katanya mempunyai pemerolehan aset pengeluar minyak dan gas yang menguntungkan dengan aliran tunai yang kukuh melalui 50 peratus faedah penyertaan dalam Samarang Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC).

Katanya, 25 peratus lagi pegangan dalam industri petrokimia Loji Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR)) di Sipitang, diikuti 10 peratus pegangan pemilikan dalam LNG9 yang dikendalikan dalam Kompleks LNG Bintulu selepas pemerolehan Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) pada November 2023.

“Selain itu kita turut memperolehi pegangan sebanyak 25 peratus dalam pembinaan kemudahan gas asli cecair terapung yang dikenali sebagai ZLNG di SOGIP, Sipitang.

“SMJ Energy juga berjaya menjual hasil minyak mentah sebanyak tiga kali iaitu pada Ogos 2023, Oktober 2023 dan Januari 2024 melalui 50 peratus kepentingannya di Samarang PSC kepada syarikat minyak antarabangsa, dengan pendapatan kasar gabungan kira-kira RM371 juta,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan pimpinannya juga akan meneruskan usaha untuk mendapatkan lebih banyak kepentingan penyertaan dengan PETRONAS. – Info X