KOTA KINABALU: Kadar zakat fitrah di Sabah ditetapkan RM7.50 seorang yang perlu dibayar umat Islam menetap di negeri ini sepanjang bulan Ramadan 1445 Hijrah / 2024 Masehi yang akan bermula minggu depan.
Jumlah itu diumumkan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Yahya Hussin pada majlis pengisytiharan Zakat Fitrah 1445 Hijrah / 2024 Masehi di sini, hari ini.
Katanya, kadar zakat fitrah yang ditetapkan itu, adalah berasaskan sukatan satu gantang baghdad atau bersamaan 2.7 kilogram beras yang dimakan majoriti penduduk negeri Sabah.
Sementara itu, Yahya menasihatkan umat Islam di negeri ini agar memuliakan Ramadan dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang ditegah agama Islam sepanjang bulan berkenaan.
“Bagi mereka yang tidak dapat mengerjakan ibadat puasa kerana uzur syar’ie (dibenarkan oleh syarak) hendaklah menghormati saudara seagamanya yang sedang melakukan ibadah puasa dan ditegah makan dan minum di tempat yang terbuka di premis – premis perniagaan pada siang hari sepanjang bulan Ramadan.
“Akhirnya saya berdoa semoga bulan Ramadan yang akan menjelang tiba ini akan terus menjadi wadah kepada kita untuk meningkatkan lagi amal ibadah, khasnya dalam melaksanakan perintah ibadah puasa dan zakat,” katanya.
Umat Islam di seluruh negara dijangka mula berpuasa sempena Ramadan tahun ini pada Selasa depan (12 Mac). – Info X