TAWAU: Mahkamah Sesyen di sini mengarahkan seorang lelaki warga Australia membela diri atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, Mei tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Hakim Rosli Ahmad selepas pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh Jack Kwong, 74, didakwa melakukan kesalahan itu ke atas mangsa di sebuah rumah Taman Pick Yard dalam daerah Tawau, pada 20 Mei 2023.
Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, tertuduh didakwa telah mencium dan meraba di beberapa bahagian anggota badan mangsa.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman tidak lebih 20 tahun penjara dan boleh dikenakan hukuman sebatan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang merupakan kenalan keluarga mangsa telah mengambil kanak-kanak berkenaan di Batu 3, Jalan Apas, Tawau untuk dihantar ke pasar ikan pada hari kejadian.
Bagaimanapun, tertuduh didakwa membawa mangsa pulang ke kediamannya di Taman Pick Yard sebelum bertindak melakukan amang seksual fizikal dengan meraba dan mencium mangsa.
Mangsa kemudiannya bertindak memaklumkan perkara itu kepada ibunya sebelum laporan polis dibuat pada hari yang sama.
Hakim menetapkan 3 Mei depan untuk prosiding bela diri oleh pihak pembelaan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana bersama Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain manakala tertuduh diwakili peguam Mark Rosaidi. – Info X