Search

D4 JSJ Sabah berkas 4 penjenayah dengan 49 rekod jenayah

March 5, 2024

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Empat lelaki yang dipercayai terbabit dengan keseluruhan 49 rekod kes jenayah berjaya ditahan tiga operasi berasingan, di ibu negeri ini, semalam.

Semua penjenayah berusia lingkungan 22 hingga 45 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan sepasukan polis Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis Azmi Abd Rahim berkata, tangkapan berjaya dilakukan susulan siasatan terhadap kes terbaru kejadian pecah masuk sebuah pasaraya di Putatan, di sini.

Katanya, mengikut laporan yang dibuat pengurus pasaraya berkenaan, pada jam 9.30 pagi, dia menyedari pintu bilik juruwang dan peti besi dipecahkan sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM92,000.

“Bertindak atas maklumat, pasukan D4 menjalankan operasi di Kampung Tampulan, Manggatal dan berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 45 tahun.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai sembilan dan 20 kes jenayah pecah rumah dan dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dua kenderaan dinaiki suspek turut dirampas.

Azmi berkata, dalam operasi sama, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Honda yang disyaki digunakan dalam aktiviti jenayah sebelum itu.

Katanya, susulan itu, pasukan operasi menyerbu sebuah rumah di Kampung Petagas, Putatan dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yant dipercayai mempunyai hubungkait dengan dua suspek sebelumnya.

“Ketika cuba ditahan, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Suspek ketiga yang berjaya ditahan turut didapati mempunyai 12 kes jenayah lampau membabitkan jenayah dadah dan kereta curi,” katanya.

Azmi berkata, bertindak atas maklumat, pasukan operasi menyerbu sebuah bilik sewa di kawasan perniagaan Inanam dan menahan seorang lelaki berusia 22 tahun.

Katanya, suspek dikesan mempunyai lapan kes jenayah lampau membabitkan pelbagai jenayah termasuk dadah serta mencuri.

“Berdasarkan siasatan, semua suspek yang ditahan sudah beberapa kali menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat jika sabit kesalahan,” katanya.

Azmi berkata, polis juga akan cuba mengesan individu lain yang dipercayai rakan jenayah keempat-empat suspek. – Info X