Search

45 rumah atas di Tawau musnah terbakar

March 6, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Sebanyak 45 rumah atas air di Kampung Tanjung Batu, Jalan Tanjung Batu Logpond, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kebakaran itu dikatakan bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke beberapa kediaman lain sekitar penempatan atas air berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.31 petang.

Beliau berkata, seramai 50 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dengan dibantu Bomba Komuniti Kampung Titingan digerakkan ke lokasi kejadian.

Rumah atas air di Kampung Tanjung Batu, Jalan Tanjung Batu Logpond, Tawau yang musnah terbakar. – Foto/Bomba

“Sebaik tiba di lokasi, api sedang marak dan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran, tujuh pancutan dengan sumber air dari jentera, pili bomba dan air terbuka (laut).

“Kebakaran berjaya dikawal pada 4.31 petang dan tiada mangsa dilaporkan terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X