KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil langkah drastik mengetatkan syarat permit bagi mengoperasikan taman hiburan atau ‘funfair’ di bandar raya ini.
Ia sebagai susulan insiden kemalangan yang membabitkan pengunjung sebuah taman hiburan yang beroperasi di Likas, di sini, malam kelmarin.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, berkata selain syarat sedia ada, DBKK akan melihat aspek lain termasuk berkaitan penyelenggaraan peralatan yang digunakan.
Beliau berkata, DBKK juga akan menyemak sama ada taman hiburan yang hendak dibuka di bandar raya ini pernah dikaitkan dengan insiden kemalangan ketika beroperasi di tempat lain.
“Dari segi mendapatkan lesen (permit), sememangnya pihak DBKK melihat sama ada mereka (pengendali taman hiburan) memenuhi syarat yang ditetapkan oleh DBKK.
“Mungkin juga pada masa akan datang kita akan melihat tarikh terkini bilakah mesin digunakan taman hiburan itu diselenggara.
“Selain itu, kita juga akan melihat rekod sebelum ini sama ada di Kota Kinabalu atau tempat lain, adakah ia (taman hiburan) pernah mengalami keadaan seperti ini (kemalangan) atau tidak,” katanya ditemui selepas sambutan Hari Wanita DBKK, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan DBKK terhadap pengendali sebuah taman hiburan di Likas selepas dua pengunjung dilaporkan parah akibat terpelanting ketika menaiki ‘sotong ride’.
Jelasnya, jika taman hiburan yang ingin memohon permit didapati pernah dilaporkan mengalami insiden kemalangan, DBKK tidak akan memberi pertimbangan mendapatkan permit untuk beroperasi.
Sementara itu, mengenai taman hiburan di Likas itu, Sabin berkata DBKK mengambil tindakan segera menamatkan permit untuk beroperasi selepas berlaku kemalangan membabitkan pengunjung.
Semalam, polis turut mengarahkan pengendali taman hiburan itu menutup serta-merta taman berkenaan untuk pemeriksaan keselamatan semua peralatan permainan yang disediakan kepada pengunjung. – Info X