Search

Calvin selar kenyataan Hajiji

March 10, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Parti Warisan menyelar kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengatakan parti itu menjaja penipuan untuk merendahkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Bahagian Warisan Sandakan, Calvin Chong Ket Kiun, menyifatkan kenyataan itu seperti melihat Hajiji menembak kakinya sendiri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, berkata ia kerana Warisan hanya menjelaskan fakta yang diketahui oleh semua rakyat di Sabah.

“Hajiji perlu berdepan dengan kenyataan bahawa GRS gagal menyelesaikan isu paling penting yang banyak memberi kesan kepada rakyat, sedangkan itulah yang dibincangkan rakyat setiap hari.

“Isu utama ini adalah keadaan jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik di Sabah. Hajiji marah hanya kerana Warisan menggelar GRS sebagai kerajaan yang gagal, etapi dengan isu-isu semasa yang dihadapi oleh rakyat di Sabah, apa yang patut kita katakan selain kenyataan bahawa GRS telah gagal?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Calvin mengambil contoh yang dekat di hati rakyat iaitu isu bekalan air dicemari air masin di Sandakan yang banyak memberi kesan kepada rakyat di daerah itu termasuk kawasannya di Elopura.

Katanya, kejadian itu adalah bukti betapa kerajaan Sabah tidak cekap dalam menyelesaikan isu mendesak itu dengan segera.

Beliau berkata masalah air masin di Sandakan begitu serius sehingga menjejaskan ratusan ribu penduduk tetapi apabila rakyat menjangkakan tindakan segera daripada kerajaan Sabah, mereka dikecewakan.

“Akhirnya, disebabkan ketidakcekapan kerajaan Sabah, rakyat di Sandakan terpaksa menanggung masalah itu selama lebih kurang setahun.

“Mereka terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan harian, tambahan lagi dengan implikasi kesihatan kepada keluarga miskin yang tidak mampu membeli air mineral.

“Sebagai wakil rakyat, saya terus mendesak kerajaan Sabah sehingga saya membawa sampel air yang diminum rakyat Sandakan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) semata-mata untuk mendesak tindakan segera daripada kerajaan negeri Sabah untuk menyelesaikan masalah itu.

“Bukan itu sahaja, masalah kekurangan katil di Hospital Duchess Of Kent juga masih tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan hari ini. Sabah hari ini masih dalam ‘zon merah’ dan menyebabkan pelancong luar takut untuk melancong di Sabah. Apakah tindakan kerajaan hari ini ?” katanya.

Beliau berkata, aduan mengenai masalah infrastruktur dan bekalan asas seperti air dan elektrik juga sering diadukan penduduk malah semakin hari semakin menjadi lebih teruk.

Katanya, kerajaan Sabah seolah-olah tidak mengambil berat mengenai keadaan rakyat Sabah kerana aduan dan rayuan mereka hampir tidak diendahkan.

Berikutan itu, Calvin mengingatkan Hajiji bahawa beliau tidak berhak membidas Warisan kerana parti itu hanya menyatakan fakta dan kenyataan serta menyampaikan suara rakyat.

“Ia bukan satu penipuan atau fitnah, memang benar kerajaan telah gagal. Hajiji hanya boleh menggelar kenyataan itu sebagai ‘fitnah’ setelah beliau menyelesaikan tiga isu utama – jalan raya, elektrik dan bekalan air di Sabah,” katanya.

Semalam Hajiji menyifatkan menyifatkan cerita yang digemburkan Warisan, termasuk oleh presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai cerita politik bohong untuk merendahkan kerajaan GRS – PH Plus yang mentadbir negeri ketika ini.

Katanya, Warisan dan pemimpinnya hanya pandai menyebar cerita yang bukan-bukan dan menabur fitnah tanpa menilai apa yang sudah dilakukan GRS – PH Plus sehingga kini. – Info X