Search

Wujudkan pendekatan baharu bantu wanita luar bandar cari kerja – Wanita UPKO

March 10, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mencadangkan agar satu pendekatan baharu yang lebih mudah dan berkesan diwujudkan untuk membantu golongan wanita terutama di luar bandar yang mahu mencari pekerjaan.

Ketua Wanita UPKO, Mohina Sidom, berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau agensi berkaitan perlu memperkasa program yang menekankan kemahiran mencari pekerjaan menerusi platform pencarian pekerjaan khususnya kepada golongan wanita yang kurang berpendidikan.

Katanya, ramai wanita di luar bandar dan pedalaman yang menghubunginya kerana berdepan kesukaran mencari pekerjaan biarpun pelbagai platform disediakan untuk tujuan berkenaan.

“Biarpun sekarang semua di hujung jari, tapi masih ada di antara mereka yang berjalan dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari kerja kerana tidak pandai menggunakan platform mencari pekerjaan yang ada. Ia sudah tentu membuang masa, tenaga dan kos.

“Kita juga mahu agar platform pencarian pekerjaan ini memuatkan lebih banyak peluang pekerjaan meliputi bidang pekerjaan kolar biru untuk membolehkan mereka yang kurang berpendidikan memanfaatkan kemudahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Wanita Sedunia dan Pelancaran Jelajah Wanita Pakatan Harapan (PH) Sabah di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua Wanita PH Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Jannie Lasimbang; Ketua Wanita DAP Sabah, Clare Taunek; Ketua Wanita PKR Sabah, Rehan Yakoub.

Selain itu, Mohina yang juga Ketua Bahagian UPKO Kinabatangan berkata, pergerakan itu menyambut baik saranan pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mahu lebih ramai wanita dilantik menjadi Ketua Adat di Mahkamah Anak Negeri (MAN).

Katanya, langkah itu dilihat bukan saja mengiktiraf peranan wanita, malah membantu menyelesaikan isu berkaitan wanita khususnya di kawasan luar bandar.

“Kita yakin ramai wanita yang berkelayakan dan bersedia untuk menyahut cabaran ini,” katanya.

Antara isu lain dibangkitkan Wanita UPKO juga termasuk pemberian peruntukan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mohina menyarankan agar setiap DUN mengutamakan golongan ibu tunggal dan wanita kurang upaya memiliki kediaman itu memandangkan masih ramai wanita yang hidup serba kekurangan dengan keadaan rumah tidak selamat didiami terutama di kawasan pedalaman Sabah.

Mohina berkata, Wanita UPKO juga akan terus berjuang untuk mengatasi kesaksamaan gender dalam pelbagai sektor dan bertegas menolak segala bentuk penindasan terhadap wanita samada melalui keganasan rumah tangga, gangguan seksual, secara fizikal ataupun verbal. – Info X