Search

Jualan Rahmah sepanjang Ramadan

March 10, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan Agenda Payung RAHMAH MADANI melalui pelaksanaan Program Jualan RAHMAH (PJR) Ramadan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pelaksanaan PJR Ramadan membabitkan sebanyak 450 lokasi secara berjadual di seluruh negara.

“Maklumat pelaksanaan PJR Ramadan boleh diakses melalui portal KPDN di pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.

“PJR Ramadan akan membabitkan jualan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga di antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga jualan asal,” katanya dalam kenyataan sempena PJR Madani di Padang Kawad Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, Kinarut, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain jualan barang keperluan kering sebagaimana kebiasaan, PJR Ramadan juga menawarkan jualan barangan keperluan harian lain seperti ayam, daging lembu, ikan dan pelbagai hasil laut, beras serta telur ayam.

Katanya, bekalan produk sepanjang jualan murah itu disediakan dengan kerjasama agensi kerajaan lain seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Usaha murni yang dijalankan oleh KPDN bersama pihak berkepentingan ini adalah satu inisiatif di bawah Kerajaan Madani dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat bagi membeli keperluan asas pada harga yang lebih murah khususnya pada bulan Ramadan.

“Orang ramai boleh datang beramai-ramai untuk mengunjungi PJR Ramadan di sekitar lokasi masing-masing,” katanya. – Info X