TAWAU: Lelaki yang dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya di hulu sungai Kampung Mangga, Kalabakan, di sini, semalam ditemukan hari ini.
Mayat Asmadi Harun, 57, ditemui penduduk kampung 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, jam 4.30 pagi.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tawau oleh pasukan polis.
“Operasi pencarian menggunakan tiga bot penduduk kampung di sepanjang sungai Ulu Kalabakan.
“Mangsa ditemui penduduk jam 4.30 pagi dengan jarak 500 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian mengambil maklumat di lokasi sebelum operasi SAR ditamatkan jam 10.45 pagi.
Semalam, mangsa dilaporkan hilang disyaki dibaham buaya ketika mencari lokan bersama dua ahli keluarganya di hulu sungai Kampung Mangga, Kalabakan. – Info X