TAMPARULI: Kira-kira 10 kampung di sini berdepan masalah bekalan air yang kritikal berikutan cuaca panas yang berlarutan sejak sebulan lalu.
Seorang penduduk Kampung Bulieng, Linus Lukun, 51, berkata kemarau berpanjangan itu menyebabkan sumber air graviti merosot dan hampir kering.
Katanya, keadaan itu menyukarkan penduduk kampung melakukan rutin harian seperti memasak, mandi dan menggunakan tandas.
“Ada yang terpaksa membeli air mineral untuk menampung keperluan. Sebagai orang kampung yang tidak berpendapatan tetap, ini sangat membebankan.
“Berikutan itu, kita mohon Pejabat Daerah Tuaran mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah untuk menyalurkan bantuan air setiap hari kepada penduduk yang terjejas,” katanya.
Penduduk kampung Wangkod, Frank Frederick, 56, turut menyuarakan rintihan terhadap masalah yang sama dihadapi penduduk di kampungnya.
Katanya, ketiadaan air yang mencukupi akibat kemarau bukan saja menjejaskan rutin keluarga, malah turut memberi kesan kepada anak-anak mereka yang mula bersekolah esok.
“Sebelum ini biasanya anak-anak akan mandi pada awal pagi supaya segar dan selesa sepanjang pembelajaran di sekolah.
“Tapi kalau tiada air, bukan saja badan melekit dan tidak selesa kerana tidak dapat mandi, malah bekalan air minum untuk dibawa juga sangat terhad dan mungkin tiada jika keadaan ini berlarutan tanpa penyelesaian,” katanya.

Katanya, penduduk ketika ini menghadapi satu bencana yang besar dan berharap kesulitan mereka diberikan perhatian.
Seorang penduduk Kampung Ponopuan, Nurisah Dasim, 60, berkata keadaan yang sedang dihadapi mereka sangat kritikal dan menyukarkan terutama yang baru bersalin dan mempunyai anak kecil.
“Kita tahu bayi baru lahir memerlukan penjagaan yang rapi terutama dari segi kebersihan. Untuk itu, bekalan air amat diperlukan bagi mereka.
“Sebagai wanita dan seorang ibu, saya memahami keperitan yang dihadapi golongan ini. Saya amat merayu agar PKOB membuat operasi, kerana keadaan ini bukan setakat kritikal tetapi sudah menjadi bencana kepada rakyat.
“Kami sangat mengharapkan bantuan lori tangki air setiap hari kerana yang ada sekarang tidak mencukupi dan kami sudah cukup menderita dengan keadaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika dihubungi turut meminta agar PKOB Tuaran dapat diaktifkan segera.
“Saya sudah beberapa kali menghubungi Pejabat Daerah Tuaran mengenai perkara ini.
“Saya difahamkan satu mesyuarat akan diadakan esok bagi membincangkan bencana akibat musim kemarau dan harapan saya agar mesyuarat itu membuat keputusan agar PKOB diaktifkan untuk membantu semua penduduk yang terjejas,” katanya.
Antara kampung berdepan masalah air di sekitar Tamparuli ketika ini ialah Kampung Ponopuon, Bulieng, Lontik Maralamin, Tengkurangoh, Ulu Bakut, Bukit Giling, Wangkod, Kapa dan Gayaratau. – Info X