Search

Balai Cerap Al-Biruni dijadikan destinasi pelancongan

March 10, 2024

Info X Reporters

PUTATAN: Balai Cerap Al-Biruni Tanjung Dumpil, di sini, akan dibuka sebagai destinasi pelancongan baharu yang menarik di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia sesuai dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan sektor pelancongan sebagai antara tumpuan kerajaan negeri.

Katanya, lokasi itu sesuai sejajar kedudukan balai cerap berkenaan sebagai salah satu mercu tanda Islam dan perkembangan ilmu falak di negeri ini.

“Selain itu, Balai Cerap Al-Biruni juga akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin bagi penyelidikan dan pendidikan berkaitan ilmu Falak dan Astronomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rukyah Hilal Rasmi (Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah) dan Majlis Rukyah Hilal Ramadhan Tahun 1445H / 2024 M bagi negeri Sabah di Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, di sini, petang tadi.

Teks ucapan Hajiji dibacakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri sangat komited melaksanakan Majlis Rukyah Hilal Rasmi (Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah) demi kepentingan umat Islam di negeri khususnya dan seluruh negara umumnya.

“Majlis Rukyah Hilal Rasmi (Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah) dan Majlis Rukyah Hilal Ramadhan Tahun 1445H /2024 adalah majlis rasmi bagi Kerajaan Negeri Sabah setiap tahun.

“Ia adalah majlis terpenting dalam soal ibadah umat Islam iaitu bagi menetapkan bermulanya umat Islam berpuasa, menyambut Aidilfitri dan Aidiladha,” katanya.

Katanya, Rukyatul Hilal adalah suatu tuntutan dan di Malaysia kaedah rukyah (melihat) dan hisab (kiraan) adalah kaedah yang digunakan bagi menetapkan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah.

“Dari segi pelaksanaannya pula, kaedah Rukyah dan Hisab dengan Kriteria Imkanur – Rukyah saling memenuhi keperluan di antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan.

“Kaedah Rukyah ini tidak boleh dipraktikkan dengan sebaik-baiknya jika pengetahuan ciri-ciri anak bulan tidak diketahui dan Rukyah tanpa persediaan teknikal adalah sia-sia dan boleh menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Beliau berkata, erja-kerja yang berkaitan Rukyah Hilal adalah kerja mulia kerana mempunyai nilai ibadah. – Info X