PAPAR: Seorang penunggang motosikal maut selepas tersepit di bawah lori dalam kejadian di Jalan Benoni, di sini, hari ini.
Mangsa Moksin Aduruk, 48, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kemalangan itu pada jam 2.34 petang.
Katanya, seramai enam anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar bergegas ke lokasi kejadian.
“Laporan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha LC terbabas lalu tersepit di bawah lori.
“Pasukan bomba yang tiba kemudian berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dengan dibantu ‘towing’,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 3.47 petang,” katanya. – Info X