KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa mengarahkan bantuan pesawat helikopter Mi17 yang berpengkalan di Miri, Sarawak untuk operasi pemadaman kebakaran terbuka.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, helikopter berkenaan akan menggunakan kaedah water bomby bagi mengawal api kebakaran di kawasan terbuka yang luas.
Katanya, JBPM menjangkakan akan berlaku lonjakan angka bagi kes kebakaran terbuka dan api tanah gambut.
“Berdasarkan statistik tiga tahun terdahulu, Sabah dan Labuan masing-masing secara purata mencatatkan lebih
820 dan 116 kes setahun bagi kebakaran terbuka melibatkan hutan, ladang, belukar dan api sampah.
“Sebagai langkah awalan, JBPM diperingkat negeri Sabah sudah membuat penandaan hot spot bagi insiden kebakaran terbuka berdasarkan trend kebakaran tiga tahun sebelum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Tahun 2023, di Dewan Serbaguna JBPM Sabah, Jalan Lintas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda.
Nor Hisham berkata, secara keseluruhan di Negeri Sabah terdapat 114 kawasan hot spot yang sudah dikenal pasti membabitkan jumlah keluasan 27,815.39 Hektar.

Katanya, sehingga 9 Mac tahun ini, terdapat tujuh lokasi yang sedang berlaku kebakaran terbuka disekitar Kota Kinabalu, Tuaran dan Daerah Kota Belud.
“Manakala insiden kebakaran terbuka lain di kawasan bukit Pulau Gaya yang dianggarkan seluas tiga ekar, kebakaran hutan UUC Telipok (tujuh ekar), Kampung (Kg) Simpangan Tuaran (empat ekar), Jalan Layar Impian Tuaran (lima ekar), Jalan Dungang Tambalang (empat ekar), Kg Kimo Kimo Kota Belud (21 ekar) dan Kg Liang Kota Belud (30 ekar).
“Saya juga difahamkan, bagi suku pertama tahun 2024, Sabah merekodkan jumlah kes kebakaran terbuka yang amat tinggi ekoran cuaca panas yang melampau sehingga mencecah 38 darjah celsius selain ketiadaan hujan yang konsisten dalam tempoh tiga bulan pertama ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas berkenaan majlis APC dan SPT, Nor Hisham berkata, seramai 83 pegawai dari JBPM Sabah dan 14 pegawai JBPM Labuan akan menerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun penilaian 2023.
Selain itu katanya, seramai 20 Pegawai Bomba Bantuan JBPM Sabah dan dua Pegawai Bomba Bantuan JBPM Labuan dianugerahkan Sijil Perkhidmatan Terpuji.
“Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan satu manifestasi keprihatinan Kerajaan terhadap modal insan berkualiti, dinamik dan berprestasi tinggi yang unggul dalam inisiatif program mencapai key-
performance index (KPI),” katanya. – Info X