KOTA KINABALU: Seramai 45,701 murid tahun satu dan 28,158 murid pra sekolah memulakan sesi persekolahan 2024 / 2025 bagi sekolah rendah di seluruh Sabah, hari ini.
Bagi sekolah menengah pula, seramai 43,518 pelajar memulakan pendidikan menengah di tingkatan satu pada sesi persekolahan kali ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin, berkata secara keseluruhan, seramai 540,791 murid dan pelajar di Sabah termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan kolej vokasional memulakan sesi persekolahan 2024 / 2025 hari ini.
Daripada jumlah itu, katanya seramai 319,578 adalah murid pra sekolah hingga tahun enam di sekolah rendah, manakala 216,405 adalah pelajar khas menengah dan tingkatan satu hingga ke tingkatan enam sekolah menengah.
“Semua mereka memulakan sesi persekolahan di 1,113 sekolah kerajaan dan 185 sekolah bantuan kerajaan, masing-masing 182 daripadanya adalah sekolah bandar, manakala 1,116 lagi adalah sekolah luar bandar.
“Bagi sesi persekolahan yang bermula hari ini, kita ada seramai 43,508 guru yang mengajar di semua sekolah di Sabah ketika ini,” katanya pada program hari pertama pembukaan sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Likas, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata tiada kekurangan guru yang besar di Sabah ketika ini berikutan jumlah guru yang bersara dapat diganti dengan guru baharu yang dibekalkan Kementerian Pendidikan.
“Sabah alhamdulillah, kita telahpun mendapat bekalan guru pada 7 Mac lalu, seramai 212 orang melapor diri dan insyaAllah pada April ini kita akan menerima satu lagi kumpulan guru untuk memenuhi keperluan di sekolah yang amat memerlukan.
“Sebenarnya keluar masuk guru ini bersifat dinamik sebab ketika guru masuk ada juga guru yang bersara, jadi proses ini akan sentiasa kita lihat.
“Mereka yang bersara itu dapat diganti dan ada juga dalam kalangan guru yang memilih untuk besara, jadi kita akan pastikan guru itu dapat diganti dengan yang baharu,” katanya. – Info X