SANDAKAN: Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Datu Pangeran Batu 7, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa Ridzsfar Jafar, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.06 pagi.
Katanya, sepasukan enam pegawai dan anggota bersama jentera terus digerakkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dipercayai terkena renjatan elektrik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai polis.
“Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa menggunakan stretcher dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.59 pagi. – Info X