KOTA KINABALU: Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyangkal dakwaan kononnya kerajaan negeri pimpinannya sebelum ini gagal melaksanakan apa-apa sepanjang dua tahun setengah memerintah.
Sebaliknya, beliau menegaskan banyak pencapaian dilakar kerajaan Warisan walaupun memerintah dalam tempoh yang singkat, selain berdepan ancaman Covid-19 yang mula merebak pada masa itu.
Malah, katanya kerajaan negeri pimpinannya lebih awal mengambil langkah untuk menghalang penularan Covid-19 dengan mengekang kemasukan pelancong luar hingga dipersoalkan pemimpin persekutuan.
“Kita tidak menunggu kerajaan Pusat mengumumkan ‘lockdown’, sebaliknya kita laksanakan sendiri supaya pelancong luar tidak datang.
“Pada masa itu juga kerajaan Warisan melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangangi penularan Covid-19, antaranya kita menyediakan RM600 juta untuk membantu rakyat Sabah yang terkesan bukan hanya di Sabah sendiri, malah di Semenanjung dan Sarawak.
“Kerajaan Warisan juga memberikan peruntukan RM1 juta untuk barisan hadapan yang bertugas pada masa itu, termasuk polis, kakitangan kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain, selain RM2 juta lagi untuk menyediakan kelengkapan pakaian perlindungan diri,” katanya pada sidang media di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau menjawab tuduhan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini yang mengatakan tiada apa dapat dilihatnya dilakukan Shafie ketika menjadi Ketua Menteri sepanjang dua tahun setengah Warisan memerintah Sabah.
Tuduhan itu bertitik tolak daripada tindakan yang didakwa Hajiji dilakukan Shafie dengan menuduh GRS sebagai sebuah kerajaan yang gagal.
Warisan memerintah negeri ini pada 2018 setelah mendapat sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hingga September 2020 apabila gagal mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16).
Shafie berkata, beberapa pencapaian penting turut dilakar Warisan sepanjang tempoh itu, termasuk menguatkuasakan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum yang kini memberi hasil lebih RM1 bilion setahun kepada kerajaan negeri.
Jelasnya, ketika pemerintahan Warisan juga, Sabah menjadi negeri pertama mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang dikeluarkan Sekolah Tinggi Persendirian Cina bagi membolehkan pemegangnya menyertai perkhidmatan awam negeri.
Katanya, Warisan juga berjaya menyelesaikan bon kerajaan negeri bernilai RM1 bilion, selain mengenal pasti tanah seluas 10,000 hektar di Terusan Sapi, Beluran untuk penanaman padi.
“Banyak pencapaian yang dilakar Warisan, jadi jangan tuduh kita gagal. Sebaliknya, hari ini kita lihat Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengeluarkan notis gangguan bekalan air, bukan di luar bandar, tapi dalam bandar.
“Rakyat di luar bandar yang berdepan masalah air pula diminta datang ke pejabat daerah untuk mengambil air, maknanya mereka gagal menyediakan air kepada masyarakat.
Di Kudat, Tuaran juga ada masalah air dan ini diluahkan oleh masyarakat, bukan saya.
“Begitu juga bekalan elektrik, hari ini kita dimaklumkan akan ada catuan elektrik. Jadi ini kegagalan kerajaan hari ini dan kita bimbang rakyat semakin berdepan kesukaran,” katanya.
Sehubungan itu, Shafie mengingatkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya tidak menyalahkan kerajaan pimpinannya yang hanya memerintah dua tahun setengah, sedangkan pemerintahan GRS kini sudah berusia lebih tiga tahun.
Katanya, banyak lagi pencapaian dilakar ketika Warisan memerintah sebelum ini termasuk pengembalian pentadbiran Pulau Sipadan kepada kerajaan Sabah dan penurunan kelulusan lesen kapal laut dalam kepada negeri. – Info X