Search

Dua pelancong maut, lima cedera bas persiaran bertembung treler

March 11, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Dua pelancong asing maut manakala lima lagi cedera dalam kejadian kemalangan jalan raya di kilometer 20 Jalan Semporna-Tawau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Lee Siong Huat, 60, warga Singapura dan Ngo Trinh Buu Dung, 40, warga Vietnam disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.03 petang.

Katanya, seramai lima pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus digerakkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah lori treler dan bas persiaran yang bertembung sesama sendiri sebelum terbabas ke tepi jalan.

“Terdapat tujuh pelancong asing yang berada di dalam bas persiaran berjaya dikeluarkan oleh pasukan operasi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, dua mangsa lelaki dan wanita dewasa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa yang cedera selepas bas persiaran dinaiki mereka bertembung dengan treler di Kilometer 20 Jalan Semporna-Tawau, Semporna.

Katanya, tiga lagi mangsa lelaki dewasa yang turut cedera parah sudah dihantar ke Hospital Semporna menggunakan Jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Dua lagi mangsa membabitkan seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki dewasa dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.

“Manakala pemandu lori treler dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.32 petang. – Info X