Search

Pembangkang tidak ikhlas, hanya kuat berpolitik

March 11, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin pembangkang di Sabah didakwa tidak ikhlas untuk membela rakyat dan memajukan Sabah kerana terlalu kuat berpolitik.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata tindakan itu demi memastikan mereka kekal relevan dalam politik Sabah.

Katanya, atas sebab itu, pembangkang menjadikan isu kemudahan asas untuk menyerang kerajaan seolah-olah masalah itu hanya berlaku hari ini tanpa sebarang tindakan penyelesaian.

“Kenyataan dan ucapan pemimpin parti pembangkang ini amat melucukan apabila menyentuh masalah legasi berdekad ini sedangkan masalah ini adalah masalah yang diwarisi akibat kegagalan kerajaan lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan dari Elopura, Calvin Chong Ket Kiun, semalam yang menyelar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung kenyataanya bahawa parti itu menjaja penipuan untuk merendahkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, berkata Calvin yang turut membangkitkan mengenai masalah air masin di Sandakan lupa bahawa kontraktor yang melaksanakan kerja itu dilantik kerajaan Warisan sebelum ini.

“ADUN Elopura membangkitkan berkaitan air masin di Sandakan, namun pemimpin ini lupa bahawa semasa mereka menjadi kerajaan lalu, mereka telah menamatkan kontrak syarikat yang dilantik oleh kerajaan terdahulu tanpa sebab dan melantik syarikat kontraktor baharu yang tidak melaksanakan kerja dengan betul,” katanya.

Beliau berkata, rakyatecara umum mengetahui kedudukan sebenar dan menyifatka dakyah yang ditabur oleh pemimpin parti pembangkang itu seperti meludah ke langit jatuh ke muka mereka sendiri.

Jelasnya, jika pemimpin pembangkang ikhlas, mereka sepatutnya menjelaskan kepada rakyat bahawa langkah penyelesaian ke atas masalah berkaitan sudah diambil oleh kerajaan dan memberikan ruang masa untuk proses penyelesaian berjalan.

“Tanggungjawab parti pembangkang yang baik ialah memberi teguran yang membina, bukannya terlalu bermain politik dan berusaha mensabotaj segala usaha kerajaan dengan membuat tuduhan seolah-olah kerajaan tidak berbuat apa-apa langkah penyelesaian.

“Hakikatnya merekalah iaitu parti pembangkang di Sabah yang gagal mengurus tadbir penyelesaian ke atas masalah yang dibangkitkan ketika mereka menjadi kerajaan sehingga ditolak oleh rakyat pada pilihan raya lalu,” katanya.

Sementara itu, Nizam menegaskan Kerajaan GRS-PH Plus yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sentiasa fokus untuk membangunkan Sabah dan meningkatkan hasil negeri. Jelasnya, kerajaan juga sudah memulakan tindakan untuk mengatasi masalah yang diwarisi daripada kerajaan lalu.

“Pelan Sabah Maju Jaya(SMJ) 1.0 adalah Hala Tuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah untuk lima tahun yang bermula pada 2021 meliputi semua aspek termasuk perekonomian dan menaik taraf kemudahan asas.

“Pemimpin pembangkang di Sabah tidak dapat menerima hakikat bahawa kerajaan GRS-PH Plus selaras dengan Hala Tuju SMJ telah melaksanakan berbagai pendekatan sama ada berkaitan kemudahan asas, perekonomian, perindustrian dan pendidikan.

“Semua pendekatan itu ada yang telah dirasai rakyat seperti inisiatif modal insan, biasiswa pendidikan, bantuan rumah SMJ dan ada yang masih dalam pelaksanaan dan penyiapan seperti projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon serta LRA Telibong 2 dan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas, Tenom,” katanya.

Beliau menekankan, kerajaan menerusi Pelan HalaTuju SMJ sedang menangani isu keperluan rakyat dan itu yang menjadi kerisauan pemimpin pembangkang di Sabah kerana mereka akan kehilangan modal isu politik. – Info X