KOTA MARUDU: Kegiatan memproses dan mengedar air ketum di sebuah rumah di Kampung Ongkilan, di sini, terbongkar selepas rumah berkenaan diserbu polis, malam tadi.
Dalam serbuan kira-kira jam 10 oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, serbuan dijalankan selepas rumah berkenaan disyaki terbabit dengan kegiatan memproses dan mengedar air ketum.
Katanya, hasil pemeriksaan di dalam rumah terbabit dengan disaksikan sendiri pemilik rumah, pihak polis menemukan 19 pek plastik lutsinar mengandungi serbuk hijau dipercayai serbuk ketum.
“Turut ditemukan 18 botol bersamaan 1.5 liter mengandungi cecair berwarna coklat dipercayai air ketum.
“Turut dirampas termasuklah peralatan-peralatan yant digunakan untuk memproses dan memasak air ketuk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan serbuan turut merampas wang tunai berjumlah RM400.
“Pemilik rumah seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dari sumber serbuk ketum diperolehi dan bagaimana bahan ini dibawa masuk ke sini,” katanya.
Zairolnizal berkata, siasatan juga mendapati air ketum yang diproses ini dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan sahaja.
“Polis juga sedang menjalankan siasatan bagi mengetahui nilai pasaran bahan terlarang ini.
“Suspek direman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
“Sabit kesalahan, pesalah boleh dihukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-dua sekali,” katanya. – Info X