Search

Lelaki ditahan bersama ekstasi, erimin 5

March 12, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang lelaki ditahan bersama dadah jenis ekstasi dan pil erimin 5 di kawasan Beverly Hill, Jalan Bundusan, di sini, Jumaat lalu.

Suspek warga tempatan berusia 35 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, bertindak dengan maklumat, satu serbuan dijalankan terhadap suspek sebelum menemukan satu bungkusan plastik hasil pemeriksaan fizikal terhadap suspek.

“Pemeriksaan lanjut menemukan 126.41 gram dadah jenis ekstasi dan dadah jenis pil erimin 5 seberat 5.05 gram yang dianggarkan bernilai RM2,500 dalam simpanan suspek.

“Hasil ujian urin terhadap suspek menunjukkan suspek terbabit penyalahgunaan dadah selepas ujian positif dadah jenis methamphetamine dan amphethamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton.

Menurutnya, pihak polis turut menyita sebuah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM45,000
untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mati mandatori sekiranya disabitkan kesalahan.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama manakala suspek kini ditahan reman sehingga 15 Mac depan,” katanya.

Sementara itu, Sammy menggesa masyarakat supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah. – Info X