Search

62,000 pengguna terjejas catuan elektrik di Sabah, Labuan

March 12, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kira-kira 62,000 pengguna Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terjejas berikutan catuan bekalan elektrik yang dilaksanakan di 14 daerah di Sabah, selain di Wilayah Persekutuan Labuan, hari ini.

Daerah yang terbabit ialah Tawau, Pitas, Beaufort, Kuala Penyu, Nabawan, Ranau, Tuaran, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Kunak, Kudat, Sandakan, Tenom dan Papar.

Catuan terpaksa dilakukan bagi memastikan kestabilan sistem Grid Sabah berikutan masalah kekurangan penjanaan tenaga yang dialami ketika ini.

Operator Sistem Grid Sabah dan Labuan, Ir Adrian Mosigil, berkata terdapat masalah teknikal di Unit Penjanaan 2 di Stesen Janakuasa Kimanis dan Unit Penjanaan Gas Turbine 2 dan 3 di Stesen Janakuasa Patau-Patau yang menyebabkan kekurangan penjanaan tenaga dalam sistem Grid Sabah.

“Unit Penjanaan Gas Turbine 2 dan 3 di Stesen Janakuasa Patau-Patau telah terpelantik pada jam 10.03 pagi tadi tetapi berjaya dipulihkan selang sejam kemudian.

“Unit penjanaan di Stesen Janakuasa Kimanis pula memerlukan sedikit masa untuk dipulihkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berikutan situasi itu, catuan bekalan terpaksa dilaksanakan bermula pada jam 11 pagi tadi dan berkemungkinan berlarutan sehingga jam 8 malam ini dan menjejaskan seramai 62,093 pengguna.

Katanya, pihak SESB sedang dalam usaha untuk memastikan pemulihan bekalan dilaksanakan secara berperingkat.

“Sebarang pertanyaan boleh terus menghubungi SESB Careline 15454, 088-515000, 019-8525427 atau melalui aplikasi mySESE,” katanya. – Info X