KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merekodkan dua kes kelesuan haba akibat cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini antara 1 Januari hingga 12 Mac lalu.
Menerusi satu kenyataan hari ini, pengarahnya, Datuk Dr Asits Sanna, berkata kedua-dua kes itu dilaporkan di Daerah Beaufort pada Minggu Epidemiologi Empat dan 11.
Beliau berkata, tiada kes kekejangan haba dan strok haba atau kes patukan ular dilaporkan sepanjang pemantauan cuaca panas di Sabah sehingga semalam.
“Kes kelesuan haba yang pertama membabitkan seorang lelaki berumur 50 tahun yang mengalami simptom kelesuan haba ketika melakukan kerja menebang pokok.
“Pesakit mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan pada 22 Januari 2024 tetapi dibenarkan pulang pada hari yang sama dan sudah sembuh.
“Kes kedua pula dilaporkan pada Minggu Epidemiologi 11, membabitkan seorang pelajar lelaki berumur 18 tahun yang mengalami simptom kelesuan haba ketika mengikuti pertandingan bola sepak.
“Pelajar terbabit mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan pada 9 Mac lalu dan dibenarkan pulang pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, berikutan cuaca panas yang diramal melebihi 35 darjah Celsius dalam tempoh tujuh hari akan datang, JKNS mengambil langkah meningkatkan pemantauan penyakit berkaitan cuaca panas.
Beliau berkata, JKNS juga akan memastikan kelengkapan rawatan dan bekalan ubat mencukupi di setiap fasiliti kesihatan selain menjalankan aktiviti promosi serta pendidikan kesihatan berkaitan panduan penjagaan kesihatan ketika cuaca panas kepada masyarakat.
“Sehubungan itu, JKNS mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah pencegahan, antaranya minum air kosong yang mencukupi serta mengurangkan pengambilan minuman berkafein, alkohol dan bergula.
“Bagi umat Islam yang berpuasa sepanjang Ramadan ini, mereka disaran meminum air secukupnya iaitu lapan gelas air sehari di antara waktu berbuka puasa sehingga waktu sahur.
“Selain itu, orang ramai juga disaran menggunakan pendingin hawa atau kipas untuk menyejukkan badan, memakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang serta memakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba matahari sekiranya berada di luar bangunan,” katanya.
Dr Asits turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap kehadiran haiwan liar seperti ular yang terpaksa keluar daripada habitat untuk mencari tempat yang redup dan banyak sumber makanan seperti dalam rumah ketika cuaca panas.
Katanya, cuaca panas yang keterlaluan boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh sekali gus menyebabkan cecair dalam badan berkurangan.
“Antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas adalah badan terasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi cepat, pening, mual dan boleh mengakibatkan sawan ataupun pengsan.
“Kanak-kanak dan warga emas adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan akibat keadaan ini. Segeralah berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda- tanda awal kekejangan haba, kelesuan haba, strok haba dan sekiranya dipatuk ular,” katanya. – Info X