Search

GRS boleh lantik kontraktor baharu berkebolehan, bukan ungkit perkara lalu – Warisan

March 14, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekali lagi dibidas kerana mengungkit pelantikan syarikat kontraktor yang didakwa tidak berkebolehan ketika pentadbiran Parti Warisan sebelum ini.

Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Calvin Chong, berkata sebagai kerajaan pada hari ini, GRS boleh melantik kontraktor baharu yang lebih berkebolehan dan bukannya mengungkit perkara lalu.

Malangnya, beliau berkata dengan keadaan bekalan air di Sabah yang semakin hari semakin teruk sekarang, ia jelas menunjukkan kegagalan kerajaan hari ini untuk mentadbir negeri.

“Seharusnya sebagai pemimpin yang memimpin kerajaan pada hari ini dia boleh melantik kontraktor baharu yang berkebolehan, tapi malangnya dengan keadaan masalah air di Sabah yang semakin hari semakin teruk keadaannya, jelas menunjukkan kerajaan pada hari ini gagal mentadbir walaupun sudah memerintah selama tiga tahun setengah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura itu membidas kenyataan Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan sebelum ini yang mendakwa Warisan melantik syarikat kontraktor baharu yang tidak menjalankan kerja dengan betul.

Ia berkaitan isu air masin yang dialami pengguna di Sandakan yang didakwa Nizam disebabkan kontraktor dilantik Warisan.

Calvin menjelaskan, Warisan pada hari ini adalah parti pembangkang dan tidak mempunyai sebarang kuasa atas urus tadbir negeri.

“Sedarkah GRS bahawa mereka adalah kerajaan yang memerintah pada hari ini tetapi masih mahu menunding jari ke arah Warisan yang memerintah pada 2018-2020.

“Walaupun pada masa itu musim Covid-19, namun Warisan masih dapat memerintah dengan lebih baik berbanding kerajaan pada hari ini,” katanya.

Calvin turut mempersoalkan tindakan GRS berhubung masalah air, kekurangan bekalan elektrik dan masalah jalan raya yang berlaku pada hari ini.

Beliau mendakwa perkara itu adalah di bawah pemerintahan kerajaan GRS pada hari ini, namun sehingga kini belum ada penyelesaian, malahan keadaaannya semakin memburuk.

“Kerajaan negeri pada hari ini harus menerima kenyataan bahawa mereka sudah gagal mentadbir negari ini. Ini bukan rekaaan semata-mata bahkan sekiranya kita melihat di platform media sosial begitu ramai rakyat yang memuat naik video dan gambar yang bersifat simbol kemarahan mereka terhadap keadaaan bekalan elektrik, air dan juga jalan raya.

“Sampai bila kerajaaan GRS mahu membuat alasan dengan menunding jari kepada Warisan? Adakah mereka sedar mereka adalah pemerintah pada hari ini? Mereka sudah memerintah selama beberapa tahun, mengapa masalah pada hari ini masih mahu menunding jari ke arah Parti Warisan?,” katanya.

Calvin mendakwa ketika pemerintahan kerajaan GRS juga berlaku kekurangan bekalan makanan seperti beras yang mana tidak pernah berlaku rakyat berebut-rebut untuk mendapatkan beras tempatan sebelum ini.

Beliau juga kesal ketika mempersoalkan isu itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) kementerian memberi jawapan yang tidak memuaskan dan sering menjawab akan mengkaji dahulu masalah itu. – Info X