KOTA KINABALU: Kebanyakan kawasan di Sabah diramal mengalami suhu panas hingga melebihi 35 darjah Celsius dalam tempoh tujuh hari akan datang.
Ramalan itu dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook jabatan berkenaan pada jam 1 tengah hari tadi.
Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarah MET Malaysia itu berkata cuca panas dan kering dengan catatan suhu yang tinggi itu turut diramal berlaku di utara Semenanjung.
Bagaimanapun, katanya situasi cuaca berbeza di Sarawak yang diramal berlaku penumpuan angin hingga esok (15 Mac 2024) yang berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang.
Keadaan itu, katanya berlaku terutama pada sebelah petang dan boleh berlarutan hingga ke pagi.
Sementara itu, MET Malaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia atau memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih. – Info X