KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) menemui 970 tin minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai yang disembunyikan dalam semak di Jalan Kionsom, Inanam, di sini, kelmarin.
Serbuan itu dijalankan sepasukan PPM Kota Kinabalu hasil maklumat awam, kira-kira jam 6 petang.
Timbalan Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Superintendan Abdul Nasir Othman berkata, hasil pemeriksaan di lokasi di kawasan semak menemui satu longgokan minuman bertutup kain kanvas.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati minuman pelbagai jenis disyaki minuman tidak bercukai.
“Tiada tangkapan dilakukan dan kemudiannya merampas barang berkenaan.
“Nilai keseluruhan rampasan minuman keras itu berjumlah RM6,562.06 termasuk cukai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, semua minuman berkenaan dibawa ke Pejabat PPM Kota Kinabalu untuk laporan dan diserahkan kepada Jabatan Kastam.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X