KOTA KINABALU: Kualiti udara di Kimanis yang berada pada tahap tidak sihat semalam turun ke paras sederhana setakat jam 7 dan 8 pagi ini.
Bacaan kualiti udara kawasan berkenaan pada tahap 93, diikuti 89 di Sepanggar (Politeknik Kota Kinabalu) dan 74 di Kota Kinabalu.
Paparan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar, menunjukkan empat kawasan di Sabah iaitu Kimanis, Kota Kinabalu, Sepanggar dan Tawau berada pada tahap sederhana atau hijau.
Dua kawasan pula iaitu Keningau dan Sandakan mencatat bacaan udara yang baik atau biru, iaitu masing-masing 33 dan 43.
Semalam, Kimanis mencatat udara tidak sihat dengan bacaan lebih 100 hingga tengah malam tadi.
Kebakaran terbuka membabitkan kawasan lalang, belukar dan hutan dikenal pasti antara punca peningkatan bacaan udara.
Berdasarkan statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, sebanyak 961 kes kebakaran lalang, belukar dan hutan direkodkan antara Januari lalu hingga kelmarin.
Daripada jumlah itu, daerah Tuaran mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 207 kes, diikuti Kota Belud sebanyak 136 kes dan Kota Kinabalu sebanyak 90 kes. – Info X