Search

Tambah penyelamat pantai pantau pengunjung di pulau peranginan

March 18, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Taman-Taman Sabah (Sabah Parks) mengkaji kemungkinan menambah penyelamat pantai di pulau peranginan negeri ini bagi meningkatkan pemantauan dan tindak balas menyelamat jika berlaku insiden tidak diingini membabitkan pengunjung.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata langkah itu sebagai susulan insiden kematian seorang pelancong dari China akibat lemas ketika beriadah di perairan cetek di antara Pulau Gaya dan Pulau Sapi, dekat sini, Jumaat lalu.

“Taman-Taman Sabah boleh mengkaji keperluan untuk menambah bilangan penyelamat pantai di pulau peranginan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan berhubung insiden itu, di sini.

Sementara itu, Christina turut mengingatkan pelancong supaya sentiasa memakai jaket keselamatan ketika menyertai aktiviti di air seperti berenang, snorkeling dan menyelam.

Katanya, peralatan itu adalah keperluan yang perlu digunakan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Mengambil langkah keselamatan adalah untuk kebaikan sendiri, elakkan daripada mengambil risiko walaupun anda pandai berenang,” katanya.

Christina menyifatkan insiden malang itu sesuatu yang menyedihkan dan dikesali yang tidak sepatutnya berlaku dalam percutian sesiapa saja.

Katanya, insiden seumpama itu juga boleh memberi kesan kepada industri pelancongan Sabah.

Ketika insiden itu, dilaporkan ada kira-kira 400 pengunjung dan pelancong berada di pulau terbabit.