KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam, kehilangan sokongan untuk menerajui parti selepas 15 daripada 26 Ketua Cabang di Sabah dan Labuan meminta beliau meletakkan jawatan.
Jurucakap 15 Ketua Cabang terbabit, Sazalye Donol Abdullah, mendakwa Sangkar yang dilantik sebagai Pengerusi MPN pada Ogos 2022 gagal melaksanakan tanggungjawab untuk memantapkan PKR Sabah.
Beliau berkata, gesaan agar Sangkar mengundur diri juga mengambil kira keperluan untuk melantik seorang pemimpin baharu yang lebih proaktif menggerakkan parti, terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang semakin dekat.
“Semua 15 Ketua Cabang sebulat suara menyatakan pendirian untuk menolak kepemimpinan Datuk Dr Sangkar Rasam sebagai Pengerusi MPN Sabah dan kami sudah menyatakan pendirian melalui akuan bersumpah (SD).
“Kami juga secara rasmi menyatakan pendirian kami pada meayuarat MPN, semalam,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sebanyak 15 Ketua Cabang yang menandatangani SD ialah dari Kota Marudu, Kota Belud, Kota Kinabalu, Sepanggar, Tuaran, Pensiangan, Sipitang, Beaufort, Beluran, Kinabatangan, Papar, Kimanis, Kalabakan, Batu Sapi dan Semporna.
Sazalye berkata, separuh daripada baki 11 Ketua Cabang yang tidak menyertai kumpulan mereka pula mengambil pendirian berkecuali, sekali gus hanya tinggal lima atau enam orang yang benar-benar kekal menyokong Sangkar.
Beliau yang juga Ketua Cabang Kota Marudu, berkata SD berkenaan ditandatangani pada Jun dan Julai tahun lalu dan turut diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR melalui Setiausaha Politiknya.
Dakwanya, sejak dilantik menjadi Pengerusi MPN lebih setahun lalu, Sangkar belum pernah mengadakan program memperkasakan parti sama ada latihan strategi, kepemimpinan, komunikasi dan penerangan, selain latihan pengucapan awam, pilihan raya dan pelbagai lagi program.
“Apa yang dilakukan beliau hanyalah menganjurkan majlis makan-makan bagi menyambut pemimpin pusat yang turun ke Sabah.
“Beliau tidak begitu dikenali selain tidak mendapat kepercayaan majoriti kepemimpinan dan akar umbi parti. Kegagalan beliau juga menyebabkan Keadilan dipandang rendah bukan saja oleh rakan komponen Pakatan Harapan (PH), malah rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Sementara itu, Sazalye berkata semua 15 Ketua Cabang yang menghadiri mesyuarat MPN semalam, termasuk tiga wakil rakyat mewakili PKR Sabah iaitu Datuk Christina Liew selaku Ketua Cabang Kota Kinabalu, Datuk Mustapha Sakmud (Kota Belud) dan Peto Galim (Sepanggar) mengambil keputusan meninggalkan mesyuarat selepas Sangkar enggan menerima gesaan mereka.
Katanya, Ketua Cabang Tuaran, Razeef Rakimin, sebelum itu bangun memberikan hujah mengenai kelemahan MPM dan meminta Sangkar meletakkan jawatan secara terhormat, namun beliau enggan menuruti gesaan itu dan menjawab tidak akan meletakkan jawatan.
“Berikutan itu, semua Ketua Cabang yang menolak kepemimpinan Sangkar bertindak meninggalkan mesyuarat sebagai tanda protes terhadap kegagalan kepemimpinan beliau.
“Oleh itu Ketua Cabang mengharapkan kebijaksanaan presiden bagi menyelesaikan kemelut ini terutama kita semakin dekat dengan PRN17 yang boleh diadakan pada bila-bila masa,” katanya.
Ditanya siapa bakal pengganti Sangkar jika dia meletak jawatan, Sazalye berkata mereka sudah mencadangkannya kepada Perdana Menteri dan pemimpin terbabit adalah di antara tiga wakil rakyat yang mewakili PKR di Sabah ketika ini.
Sazalye bagaimanapun enggan menyebut secara khusus nama pemimpin terbabit, namun difahamkan beliau ialah Ahli Parlimen Sepanggar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud. – Info X