PAPAR: Jenazah Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur Adika Bujang, 45, yang diterbangkan daripada Lapangan Terbang Sandakan, pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belud Sadok, Kinarut, dekat sini, tengah hari tadi.
Jenazah allahyarhamah Nur Adika sebelum itu diterbangkan sekitar jam 10 pagi menggunakan pesawat Cessna Caravan menerusi penerbangan ihsan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Pangkalan Sabah.

Selepas tiba di Pangkalan PGU Sabah di Tanjung Aru sekitar jam 11.10 pagi, jenazah allahyarhamah seterusnya dibawa ke Surau Kampung Somboi untuk disembahyangkan.
Diimamkan adik lelaki allahyarhamah,Syahrel Khalifah Bujang, 30, jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Belud Sadok untuk disemadikan berhampiran pusara arwah bapa, allahyarham Bujang Abu Bakar.

Turut hadir Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua dan Ketua Biro Bernama Sabah, Fadzli Ramli.
Terdahulu, allahyarhamah ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Taman Perumahan IJM, Batu 6 di Sandakan Sabah pada tengah hari Ahad lalu.

Nur Adika merupakan petugas yang cemerlang dengan penulisan dwibahasa dan kreatif, ia terbukti dengan tiga kali penganugerahan iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2014 dan 2020 serta 2023.
Nur Adika sudah berkhidmat dengan Bernama sebagai wartawan hampir 20 tahun sejak 31 Oktober 2005 dan pada 1 Januari 2019 beliau dilantik sebagai Pewarta Sandakan. – Info X