Search

Anggota bomba cedera terkena renjatan elektrik

March 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang anggota bomba wanita cedera akibat terkena renjatan elektrik ketika memadam kebakaran rumah di Kampung Keliangau 2 Manggatal, di sini, hari ini.

Pegawai Bomba Samantha Echa Sigah, 36, dikejarkan segera ke Hospital Queen Elizabeth II (QEH) dengan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun pegawai bomba yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dilaporkan stabil.

Ketua BBP Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 10.05 pagi dan menggerakkan sepasukan pegawai bersama jentera dan EMRS ke lokasi sejauh 10 kilometer dari jarak balai.

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah dan sebuah bengkel persendirian di Kampung Keliangau 2 Manggatal, Kota Kinabalu.

“Kebakaran membabitkan rumah serta sebuah bengkel persendirian.

“Turut terbakar tiga kenderaan iaitu pacuan empat roda dan Perodua kancil yang terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi pacuan empat roda terjejas sebanyak 50 peratus.

“Operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air dari jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.44 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota bomba yang cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke QEH II, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, terdapat seorang anggotanya cedera selepas terkena renjatan elektrik dan dihantar ke QEH II menggunakan Jentera EMRS.

“Oerasi memadam kebakaran dibantu pasukan BBP Kota Kinabalu dan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) turut berada di lokasi kejadian,” katanya. – Info X