Search

Kastam Sabah rampas minuman keras, rokok tidak bercukai lebih RM5.4 juta

March 21, 2024

Info X Reporters

Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas minuman keras dan rokok seludup bernilai keseluruhan lebih RM5.4 juta termasuk cukai membabitkan empat kes berasingan.

Semua barangan seludup berkenaan dirampas hasil pemantauan Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar dan serbuan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu, pada 6 sehingga 18 Mac lalu.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, kes pertama membabitkan rampasan dua kontena berisi minuman keras pada 6 Mac lalu.

Katanya, minuman keras yang jenama Cool Beer yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM1.017 juta berkenaan cuba dibawa masuk melalui Pelabuhan Sepanggar.

“Kes rampasan kedua pula membabitkan rampasan minuman keras dan rokok seludup yang dijalankan di sebuah stor di Kampung Ramayah, Jalan Penampang-Papar, di sini.

“Semua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.078 juta. Dua kenderaan iaitu sebuah lori dan van turut disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang dijalankan di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, lanjutan daripada kes kedua, pasukan operasi menyerbu sebuah rumah di Penampang dan menemui tiga lori yang membawa muatan rokok dan minuman keras bernilai keseluruhan RM91,935.

Datuk Mohd Nasir Deraman (tiga dari kiri) menunjukkan minuman keras dan rokok tanpa cukai yang dirampas.

Katanya, kes ketiga pula membabitkan rampasan empat kontena berisi minuman keras jenama Carlsberg Pilsner di Pelabuhan Sepanggar pada 15 Mac lalu.

“Rampasan bagi kes ini pula membabitkan nilai sebanyak RM1.82 juta termasuk cukai dan duti.

“Manakaa kes keempat berjaya dijalankan pada 18 Mac lalu membabitkan rampasan dua kontena berisi minuman keras jenama Paris Romantic Night yang dianggarkan bernilai keseluruhan sebanyak RM434,050,” katanya.

Mohd Nasir berkata, modus operandi yang digunakan adalah membuat pemalsuan maklumat pada dokumen dan diikrar sebagai barang lain.

Selain itu katanya, penyeludup juga menggunakan taktik menyembunyikan barang tidak berkastam bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan niat mengelak cukai serta mendapatkan kelebihan di pasaran tempatan.

“Tiada tangkapan dibuat ketika serbuan dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan pemilik stor, pemilik kenderaan dan pengimport yang terbabit.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana yang lebih besar.

“Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – Info X