Search

KPDN Sabah periksa 475 bazar Ramadan, dua peniaga dikompaun

March 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah memeriksa 475 gerai Bazar Ramadan sejak 12 hingga 20 Mac lalu di Sabah.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan, dua peniaga telah dikenakan kompaun selepas didapati melakukan kesalahan.

Katanya, kompaun pertama membabitkan kesalahan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang yang tamat tempoh sah penentusahan.

“Manakala kesalahan kedua disebabkan gagal meletakkkan tanda harga pada barang jualan.

“Kedua-dua peniaga terbabit telah ditawarkan kompaun ‘Kompaun On The Spot’ dan telah dijelaskan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Pegawai penguat kuasa KPDN menjalankan pemeriksaan gerai Bazar Ramadan di Sabah. – Foto/KPDN

Sementara itu Georgie berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 20 Mac tahun ini, KPDN Sabah sudah menjalankan pemeriksaan terhadap 12,888 premis perniagaan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 242 kes berjaya dikesan atas pelbagai kesalahan mengikut akta-akta yang dikuatkuasakan oleh KPDN.

“Jumlah nilai rampasan adalah sebanyak RM1,961,214. Selain itu, bagi tempoh sama, KPDN juga telah mengenakan kompaun keseluruhan bernilai RM26,200,” katanya.

Sehubungan itu, Georgie mengingatkan kepada semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang ditetapkan terutamanya sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, peniaga diminta supaya mengamalkan perniagaan beretika serta tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang berlebihan.

“KPDN juga ingin menasihat pengguna supaya tidak menularkan sebarang salah laku peniaga di media sosial sebaliknya melaporkan terus kepada KPDN untuk dijalankan pemeriksaan sewajarnya.

“Sebarang aduan awam boleh dibuat menerusi aplikasi whatsapp ditalian 019-279 4317 dan 019-848 8000 atau melalui Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my serta Call Centre 1-800-886-800.

“Aduan juga boleh dihantar menerusi email di [email protected]; Ez ADU KPDNHEP atau hadir sendiri ke Pejabat KPDN berhampiran,” katanya. – Info X