Search

Wanita Cabang mahu Presiden selesaikan kemelut PKR Sabah

March 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 15 Ketua Wanita Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini sebulat suara mahu kemelut kepemimpinan PKR Sabah diselesaikan di antara semua Ketua Cabang dengan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi satu kenyataan bersama, di sini, kumpulan Ketua Wanita Cabang terbabit turut menyatakan kekesalan mereka terhadap tindakan Ketua Wanita PKR Sabah, Noriha Yakub, semalam yang menyatakan sokongan kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Dr Sangkar Rasam tanpa perbincangan.

“Di sini kami ingin menyatakan bahawa kami tidak pernah membuat sebarang perbincangan sama ada menyokong mahupun menolak kepemimpinan Sangkar Rasam sebagai Pengerusi Keadilan Sabah.

“Kami berpandangan biarlah kemelut ini diselesaikan sendiri oleh Ketua-Ketua Cabang dengan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden parti.

“Kami tidak bersetuju dengan cara Ketua Wanita Keadilan Sabah menggunakan kedudukan beliau untuk membuat keputusan bagi pihak kami tanpa mengadakan sebarang perbincangan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu membabitkan Ketua Wanita Cabang Tuaran, Kota Marudu, Kota Belud, Kota Kinabalu, Papar, Kimanis, Beaufort, Beluran, Sandakan, Batu Sapi, Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna, Kalabakan dan Tawau, manakala seorang Timbalan Ketua Wanita iaitu dari Cabang Libaran.

Kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap kenyataan dikeluarkan Noriha pada sidang media bersama Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Zaidi Jatil, mengenai sokongan kedua-dua sayap itu terhadap Sangkar, di Tanjung Aru, dekat sini, semalam.

Menerusi kenyataan 15 Ketua Wanita Cabang PKR itu, turut disebut bahawa mereka kekal dengan pendirian untuk tidak mencampuri urusan berkaitan kemelut MPN Sabah.

“Sejak awal kami menyatakan bahawa Wanita Keadilan Sabah tidak perlu mencampuri urusan ini sebaliknya fokus kepada memperkukuh hubungan Majlis Pimpinan Wanita Keadilan Sabah dan melakukan kerja memperkasa hal ehwal wanita Sabah,” katanya.

Kemelut kepemimpinan PKR Sabah tercetus sejak Ahad lalu apabila Ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin, meminta Sangkar meletak jawatan secara terhormat kerana didakwa gagal melaksanakan program untuk memantapkan parti ketika Mesyuarat MPN di ibu pejabat PKR Sabah di Tanjung Aru.

Ia kemudian disusuli sidang media yang diketuai Ketua Cabang PKR Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah, pada Isnin lalu, menyatakan pendirian 15 Ketua Cabang yang hilang kepercayaan terhadap Sangkar dan memintanya meletak jawatan. – Info X