Search

Kadar miskin tegar diturunkan tahun ini menerusi inisiatif SMJ – Nizam

March 21, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sedang berusaha untuk menurunkan kadar kemiskinan tegar di Sabah menjelang hujung tahun ini, kata Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata antara usaha yang sedang dilaksanakan ialah memberi bantuan modal perniagaan, menyediakan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya dan memberi peluang pekerjaan untuk anak-anak miskin tegar di Sabah.

“Kelompok miskin tegar dalam sistem e-Kasih adalah golongan sasar yang akan dibantu,” katanya menerusi satu kenyataan untuk menjawab pertanyaan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mengenai kejayaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Suhaimi dalam kenyataan medianya semalam bertanya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai kejayaan yang berjaya dilakar Pelan Pembangunan SMJ selepas kira-kira dua tahun dilancarkan yang didakwa gagal berikutan isu kemudahan asas yang masih berlarutan.

Membasmi kemiskinan adalah antara perkara penting yang digariskan dalam hala tuju pembangunan SMJ, selain berkaitan pembangunan infrastruktur dan sektor ekonomi.

“Selain membasmi kemiskinan, kerajaan negeri juga telah melancarkan Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SERAMP 2040) pada September 2023. Usaha ini untuk kerajaan beralih daripada kebergantungan sumber tenaga tidak boleh diperbaharuhi kepada rangkaian sungai di Sabah.

“Hidroelektrik adalah kunci kepada aspirasi tenaga boleh diperperbaharuhi di Sabah. Pada tahun 2022, kapasiti hidro di Sabah ialah 102 MW, memberi sumbangan hanya empat peratus kepada penghasilan tenaga campuran di Sabah.

“Untuk meningkatkan kapasiti hidro di Sabah, pembinaan Projek Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom bernilai RM4 bilion dengan kapasiti 187.5 MW dilaksanakan, dan projek ini dijangka siap pada 2029. Selain menyumbang tenaga, ia juga berpotensi menyumbang bekalan air sehingg 6,000 MLD,” katanya.

Bagi masalah air, katanya, tumpuan ketika ini adalah untuk menstabilkan bekalan menerusi peningkatan kapasiti di Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 1 dan 2 sebanyak 130 MLD hingga 180 MLD dan mampu membekal air di kawasan Kota Kinabalu Utara, Tuaran, KKIP dan UMS.

Jelasnya, kerajaan turut meningkatkan kapasiti bekalan air di LRA Kogopon di Papar kepada 80 MLD untuk kawasan Papar, selain Kimanis hingga ke Selatan Kota Kinabalu dan projek sudah bermula sejak lima bulan lalu serta dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Apa yang saya sebutkan ini adalah sebahagian daripada kejayaan Pelan Pembangunan SMJ, semua maklumat ini adalah maklumat awam yang boleh diakses melalui platform yang saya sebutkan – terutamanya laman web rasmi SMJ.

“Saya berharap selepas ini Datuk Suhaimi dan pasukan pembangkang akan melakukan sedikit kajian dan bacaan sebelum melontarkan kenyataan yang tidak berasas,” katanya.

Terdahulu, Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) kerajaan negeri pasti menghebahkan maklumat berkaitan kejayaan SMJ melalui wakil rakyat dan kementeriannya.

Selain itu, katanya hebahan maklumat turut dilakukan menerusi agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), pejabat wakil rakyat dan unit media kelolaan kerajaan, termasuk media digital.

Jelasnya, cara termudah untuk mengakses maklumat mengenai SMJ adalah melalui laman web rasmi: https://smj.sabah.gov.my/.

“Rangkuman pencapaian SMJ meliputi hala tuju kemajuan dan pembangunan 2021-2025 termasuklah pencapaian dan keberhasilan menyelesaikan kemudahan asas terutama berkaitan bekalan air dan tenaga elektrik.

“Bagi hal berkaitan jalan raya, sudah tentu ia berkaitan proses menyiapkan Pan Borneo, sementara projek berkaitan jalan-jalan yang di luar Pan Borneo, kebanyakannya sedang berada pada fasa pembinaan.

“Melalui persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, kerajaan juga telah menjawab perihal berkaitan status projek-projek kerajaan melalui jawapan secara lisan atau bertulis,” katanya.

Beliau berkata, jika Suhaimi meluangkan masa mengikuti maklumat yang diberikan melalui medium yang dinyatakannya, ADUN DILANTIK tidak akan mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Nizam berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan maklumat penting, manakala wakil rakyat seperti Suhaimi mempunyai tanggungjawab untuk mencari maklumat sebelum mengeluarkan kenyataan. – Info X