Search

Sabah FC mungkin tambah pemain import musim ini

March 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kehadiran pemain dari Australia, Haris Stamboulidis dalam sesi latihan Sabah FC, menguatkan andaian mengenai kemungkinan seorang lagi pemain import bakal diambil untuk memperkukuh skuad Sang Badak pada musim ini.

Bagaimanapun, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata pengurusan pasukan setakat ini belum memutuskan untuk menandatangani kontrak pemain import baharu.

Sabah FC, katanya masih meneliti prestasi dan keupayaan sebenar pemain terbabit menerusi sesi latihan pasukan sebelum menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan rasmi.

“Kita mengesahkan pemain ini sudah bersama-sama kita dan apa yang saya lihat prestasinya cukup positif. Kita akan umumkan dalam masa terdekat sama ada pemain baharu ini akan menandatangani (kontrak) atau tidak,” katanya mengulas kehadiran Haris bersama pemain lain ketika sesi latihan Sabah FC, di sini.

Beliau berkata, berbeza dengan Sabah FC, pasukan lain sudah melakukan persiapan awal dengan menandatangani beberapa pemain import bagi mengukuhkan pasukan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Bagi Sabah FC, Kim Swee berkata pasukannya masih mengekalkan pemain import sedia ada untuk membantu pasukan mengekalkan kedudukan Sang Badak sebagai antara lima kelompok pasukan terbaik Liga Malaysia musim ini.

“Kita lihat sasaran ini sangat positif dan saya berharap Sabah FC mampu melakukannya dan cuba memperbaiki kelemahan yang dihadapi pasukan pada musim liga yang lalu,” katanya.

Ketika ini skuad Sang Badak dibarisi tujuh pemain import iaitu Ramon Machado, Telmo Castanheira, Gabriel Peres, Miguel Angel Garrido Cifuentes atau Cifu, Park Taesu, Kwang Ming Ko dan Saddil Ramdani. – Info X