PENAMPANG: Sebanyak lima kereta musnah dalam kebakaran di sebuah premis menjual kenderaan di Jalan Bundusan, di sini, petang tadi.
Kejadian itu turut menyebabkan sebuah kontena terbakar namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.30 petang.
Katanya, seramai 36 anggota termasuk pegawai bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Lintas dan Kota Kinabalu digerakkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran membabitkan sebuah kedai kereta jenis tidak kekal terbakar 80 peratus.
“Turut musnah terbakar lima kenderaan dan sebuah kontena,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran, tiga pancutan dari sumber air jentera.
“Operasi terkawal pada jam 7.10 malam dan tamat sepenuhnya jam 9.43 malam.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X