Search

Bapa dan anak maut, isteri serta empat anak parah

March 24, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Dua beranak maut manakala lima lagi termasuk ibu dan empat anak mereka parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di kilometer 16, Keningau- Apin-Apin, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa yang maut iaitu pemandu kenderaan jenis Toyota Avanza, Masino Gelong, 45, dan anaknya, Claeryina Mecthildis, 3.

Mangsa yang parah iaitu isteri kepada Masino iaitu Chelrina Philip, 33, dan empat lagi anaknya iaitu Mattheo Charbel, 2, Mica Chelsino, 7, Charlene Myra, 9, Camellia Mae, 11, dan semuanya parah di kepala dan ditempatkan di Zon Merah di Hospital Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Nissan Navara dan Toyota Avanza.

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kenderaan Nissan Navara dipandu lelaki berusia 40 tahun bersama dua penumpang bergerak dari arah Apin-Apin menuju ke Keningau.

“Manakala kenderaan Toyota Avanza dipandu Masino bergerak dari arah Keningau menuju ke Apin-Apin bersama isteri dan lima anaknya.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, dipercayai Toyota Avanza hilang kawalan masuk ke laluan kenderaan Nissan Navara lalu berlaku pertembungan.

“Akibat itu, kedua-dua kenderaan terpusing dan terbabas ke sebelah kiri dan kanan bahu jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lokasi kemalangan yang mengorbankan dua beranak di kilometer 16, Keningau- Apin-Apin, Keningau.

Menurutnya, susulan itu mangsa iaitu pemandu Toyota Avanza dan seorang anaknya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Semua penumpang dalam kenderaan Toyota Avanza parah. Pemandu dan seorang penumpang turut parah manakala seorang lagi cedera.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan. Dua mangsa turut dibawa ke hospital sama dan bedah siasat akan dijalankan selepas mendapatu keputusan saringan Covid-19,” katanya.

Katanya lagi, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau turut berada di lokasi kejadian bagi operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit. – Info X