KOTA KINABALU: Nasib 17 keluarga diuji pada Ramadan ke-13, selepas 10 rumah di Kampung Muhibbah, Likas, di sini, musnah terbakar, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku ketika beberapa keluarga baru sahaja terjaga untuk menyediakan makanan bersahur.
Mangsa kebakaran, Azwan Mailan, 37, berkata, ketika kejadian dia baru sahaja terjaga dari tidur untuk bangun bersahur namun terasa panas.
“Ingat disebabkan cuaca panas, lalu saya bangun dan melihat api marak di bahagian depan rumah.
“Tanpa berlengah, saya segera mengejutkan isteri dan adik beradik yang lain untuk keluar rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, ketika itu dia cuba untuk memadam api menggunakan baldi berisi air, namun gagal dan api semakin marak.
“Tiada apa yang dapat diselamatkan semuanya musnah terbakar.
“Rumah bapa dan abang saya juga turut musnah,” katanya.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 3.11 pagi.
Katanya, seramai 26 anggota termasuk pegawai bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), Water Tanker dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, beberapa rumah sedang terbakar dan operasi pemadaman segera dilakukan oleh pasukan operasi.
“Kebakaran membabitkan 10 rumah jenis separuh kekal terbakar sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai 17 keluarga dan 65 isi rumah terbabit.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan operasi terkawal jam 4.16 pagi.
“Operasi ditamatkan pada 6.49 pagi dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X