Search

Akta Parlimen Berpenggal Tetap perlu dilihat secara positif

March 24, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Cadangan menggubal Akta Parlimen Berpenggal Tetap perlu dilihat secara positif sebagai pendekatan terbaik bagi menjamin kestabilan politik sesebuah kerajaan yang mentadbir negara ini.

Senator Datuk Norani Idris yang menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu, berkata langkah itu wajar disokong.

Katanya, walaupun baru di peringkat kajian sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat, pelaksanaannya dilihat sesuai dalam usaha mengekalkan pemerintahan sesebuah kerajaan selama lima tahun.

“Cadangan Akta Parlimen Berpenggal Tetap adalah untuk menentukan bahawa tempoh hayat kerajaan akan kukuh hingga lima tahun.

“Dalam keadaan yang sama, kestabilan politik dalam blok kerajaan dengan jumlah sokongan mencukupi sehingga lima tahun perlu ada,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Penampang, berkata akta itu boleh mengatasi masalah Parlimen dibubarkan sebelum cukup penggal.

Jelasnya, akta itu bukan bertujuan untuk mengatasi daripada ahli Dewan Rakyat ‘cross the floor’, tapi lebih kepada mengekalkan penggal Parlimen dan mengehadkan kuasa Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen.

Beliau juga berkata, Akta Parlimen Berpenggal Tetap bukan langkah terdesak untuk mengekalkan kerajaan hari ini, sebaliknya dibuat sebagai menghormati mandat pilihan raya dan proses demokrasi, selain memastikan kestabilan politik.

“Jika ada usaha-usaha dari pihak terbabit yang mahu menggulingkan kerajaan tidak mengikut saluran demokrasi dan pilihan raya, sudah tentu akan mewujudkan ketidakstabilan politik negara dan ini akan merencatkan segala perancangan pembangunan, ekonomi dan kestabilan politik,” katanya.

Noraini menambah terdapat banyak negara yang mengamalkan Parlimen berpenggal tetap dengan garis masa yang dipersetujui untuk pilihan raya demi menjamin kestabilan politik dan ekonomi serta menghalang sebarang cubaan rampasan kuasa yang memudaratkan sistem demokrasi berparlimen negara.

Katanya, Parlimen berpenggal tetap juga boleh memastikan segala agenda reformasi dan polisi dapat dilaksanakan secara berterusan tanpa gangguan.

“Sekiranya hendak membaiki dan memastikan kelancaran program-program kerajaan serta memastikan bahawa Parlimen kekal lima tahun, maka Akta Parlimen Bepenggal Tetap ini sesuai untuk digubal.

“Jika ada keperluan untuk membubarkan Parlimen terlebih awal maka boleh dilakukan dengan ‘mekanisme’ yang sesuai dan lebih ketat,” katanya. – Info X