KENINGAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas dua juta batang rokok dianggarkan bernilai RM1.3 juta termasuk cukai di kilometer 40 Jalan Tenom – Sipitang, Tenom, pada 16 Mac lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, pegawai dan rondaan darat pasukan operasi Penguatkuasaan Stesen Keningau mengesan sebuah lori rigid Isuzu yang disyaki membawa barang larangan atau tidak berkastam.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, hasil operasi yang dijalankan, pasukan serbuan menemukan 100,000 bungkusan mengandungi dua juta batang rokok pelbagai jenama.
“Anggaran berat rokok iaitu 1,920 kilogram yang disimpan di dalam sebuah lori rigid Isuzu yang ditinggalkan di tepi jalan.
“Semua barang dianggarkan bernilai RM160,000 dengan membabitkan cukai dan duti terbabit sebanyak RM1,336,000.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori berjumlah RM1,566,000,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Keningau, di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan, tiada individu atau pemandu berada di dalam kenderaan terbabit.
“Pemandu dipercayai sudah melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak kastam.
“Modus operandi bagi kes ini adalah pihak penyeludup menggunakan pengangkutan darat di waktu awal pagi pada hujung minggu bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya kini giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pemilik barang rampasan.
“Tindakan lebih tegas akan diambil terhadap pihak yang terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X