PENAMPANG: Pakatan Harapan (PH) Sabah perlu diberikan ruang yang sewajarnya dan lebih besar pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).
Timbalan Pengerusi PH, Datuk Ewon Benedick, berkata agihan kerusi pada pilihan raya itu nanti tidak harus dikuasai mana-mana parti.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), berkata, bagi UPKO, beliau sudah menyatakan pendirian parti itu berkaitan agihan kerusi PRN17 pada Konvensyen Zon UPKO sebelum ini.
“Bagi kami itu perlu dibincangkan dari semasa ke semasa dengan rakan komponen Kerajaan Perpaduan. Kita sentiasa menyatakan pandangan, wawasan dan pendirian parti kita untuk dibincangkan secara bersama.
“Kita tidak mahu satu-satu parti menguasai mengenai satu-satu isu (agihan kerusi), ia harus dibincang secara terbuka dan matang.
“Saya percaya pada akhirnya, pimpinan UPKO dan PH akan membuat keputusan yang sebaiknya, PH harus ada ruang yang sewajarnya dan lebih besar,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengenai rakan parti untuk membentuk gabungan bagi menghadapi PRN17, Ewon yang juga Timbalan Pengerusi PH, mengakui sudah banyak perbincangan mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, katanya UPKO dan PH perlu mengambil kira situasi politik semasa termasuk kedudukan dalam Kerajaan Madani yang terdiri daripada beberapa pakatan.
“Di peringkat persekutuan kita ada Kerajaan Perpaduan, manakala di Sabah pula mempunyai dinamiknya yang tersendiri dan bagi parti kita (UPKO), kita buka ruang untuk berbincang.
“Namun, pada akhirnya nanti, pimpinan tertinggi di peringkat parti dan PH yang akan menentukan keputusan muktamad kita menjelang PRN nanti,” katanya.
Ketika ini, UPKO bersama PH Sabah menjadi sebahagian kerajaan negeri di bawah kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – PH Plus, sejak awal tahun lalu. – Info X