KOTA KINABALU: Kebakaran di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal, Kayu Madang, Telipok semalam, dipercayai berpunca daripada kebakaran yang berlaku di kawasan hutan berhampiran.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerusi kenyataannya, hari ini berkata kejadian itu dilaporkan bermula pada jam 12 tengah hari sebelum merebak ke tapak simpanan tayar terpakai pada jam 3.15 petang.
Katanya, bagi operasi pemadaman kebakaran, bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah tiba di lokasi pada jam 4.55 petang bagi mengawal api.
“Beberapa langkah keselamatan turut diambil oleh pihak DBKK bagi mengurangkan pencemaran asap daripada tayar yang terbakar dengan menggunakan tanah.
“Tanah digunakan untuk menimbus kawasan yang terbakar dan proses penimbusan akan diteruskan sehingga selesai dan dijangka mengambil masa selama tujuh hari,” kata kenyataan itu.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah bersama beberapa pegawai pengurusan tertinggi DBKK turut meninjau lokasi kebakaran, semalam.
Turut hadir ialah Pengarah JBPM Sabah, PKPjB Abdul Razak Muda.
Ketika ini, situasi di tapak pelupusan itu dalam keadaan yang terkawal. – Info X