Search

Lebih 130,000 pelarian Filipina masih berada di Sabah

March 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 136,055 orang yang dikenal pasti sebagai pelarian warga Filipina direkodkan masih berada di Sabah sehingga kini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, daripada jumlah itu seramai 51,645 pelarian memegang dokumen IMM13.

Bakinya, beliau berkata, iaitu 47,518 orang lagi adalah pemegang Sijil Banci Pasukan Petugas Khas Persekutuan (PPKP) Sabah/Labuan.

“Seramai 36,892 orang lagi pula adalah pemegang dokumen Resit Pengenalan Sementara Jabatan Ketua Menteri.

“Jumlah itu dikenal pasti melalui data semak silang antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Pejabat Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Zaliha berkata demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO – Tuaran) pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam soalannya, Madius meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah dan apakah masa depan kehadiran pelarian Filipina yang sudah berada di Sabah sejak awal 1970-an.

Zaliha berkata Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan memandang serius terhadap status dan masa hadapan golongan itu.

“la diterjemahkan melalui forum Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah yang terbahagi kepada dua iaitu Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal.

“Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Menteri Sabah dan Menteri Dalam Negeri, manakala di peringkat Jawatankuasa Teknikal pula dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Timbalan Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Jelasnya, jawatankuasa itu bertindak sebagai platform untuk meneliti dan merancang hala tuju pelarian Filipina yang ada di Sabah.

Beliau berkata, jawatankuasa itu mengesyorkan agar pendataan semula dibuat terhadap merangkumi pengambilan biometrik dan gambar untuk simpanan profil yang terkini dan teratur.

“Ini membolehkan kedudukan dan status mereka dapat dikesan semula. Jawatankuasa ini juga memutuskan agar satu dokumen pengenalan diri tunggal diaplikasikan bagi memudahkan pengurusan pelarian Filipina di Sabah pada masa hadapan,” katanya. – Info X